Penaksir pajak gadai, Natasya Mohd. Zahid, 31, didakwa atas 16 pertuduhan memperdaya Ketua Kedai Ar-Rahnu Exchange di sini dengan memalsukan baucar bayaran Ar-Rahnu dengan meletakkan nama individu lain sedangkan barang kemas itu bukan milik penama terbabit bagi mendapatkan kelulusan pinjaman berjumlah RM204,410.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Shahidah Muslimah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Ra­­suah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana-mana nilai yang lebih tinggi.

Wanita yang hadir ke mahkamah dengan jubah dan bertudung hitam itu juga didakwa atas 15 pertuduhan pecah amanah iaitu menggadaikan semula barang kemas milik pe­langgannya bernilai RM290,144 di atas nama orang lain.

Bagi pertuduhan ini, Natasya yang mempunyai seorang anak berusia 18 bulan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat serta boleh dikenakan denda jika didapati bersalah.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh yang diwakili peguam bela, Datuk Mohd. Hakimi Abd. Kadir di Kedai Ar-Rahnu Exchange di sini di antara Mei hingga Oktober 2016.

Hakim Zaman Mohd. Noor kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan.

Terdahulu, Shahidah mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah namun Mohd. Hakimi memohon agar jumlah itu dikurangkan kepada RM10,000.

Hakim Zaman Mohd. Noor kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan tidak boleh mengganggu saksi. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Mac ini.