Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Choon Seng, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Mengikut pertuduhan, bapa seorang cahaya mata itu didakwa memasukkan dua jenis dadah berbahaya iaitu Amphetamine dan Methamphetamine di dalam badannya di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini kira-kira pukul 1.30 pagi, 23 Julai 2017.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan sebatan sehingga tiga kali.


Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada hari kejadian.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran atas alasan tertuduh mempunyai empat rekod kesalahan lampau membabitkan kesalahan berulang namun Choon Seng yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak yang masih bersekolah.

Mengikut keterangan kes, spesimen satu botol air kencing tertuduh telah dihantar ke makmal dadah dan Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan air kencing tertuduh didapati positif dua jenis dadah berbahaya itu.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 15 Mac lalu, pihak pendakwaan telah memanggil tujuh saksi manakala pembelaan memanggil dua saksi termasuk tertuduh untuk memberi keterangan.- UTUSAN ONLINE