Hakin Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah menjatuhkan hukuman itu selepas Chang Huey Shian, 52, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Jalan Kinrara 6, Bandar Kinrara, Puchong, di sini kira-kira pukul 12.25 tengah hari, 9 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah menggunakan dadah jenis morfin sedangkan sebelum ini dia mempunyai dua sabitan terdahulu di Mahkamah Majistret di sini dan telah dijatuhi hukuman masing-masing penjara empat bulan dan dua tahun pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta penjara tiga bulan serta dua tahun pengawasan AADK.


Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan sebatan sehingga tiga kali.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Asyraf Ashy’ari Kamaruzaman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor keselamatan awam.


“Tertuduh telah mengulangi kesalahan sama sebanyak dua kali dan seolah-olah tidak serik dengan hukuman yang diberikan sebelum ini, oleh itu saya mohon satu hukuman yang dapat memberikan pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya.


Huey Shyan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia perlu menjaga anak perempuannya. - UTUSAN ONLINE