Severin Krasimirov ditangkap setelah dikaitkan dengan kes bunuh dan rogol wartawan antirasuah itu yang berlaku pada awal Oktober lalu.

Lelaki berusia 21 tahun itu yang diberkas di Jerman iaitu tempat tinggal ibunya dan diekstradisi ke Bulgaria, tiba di Lapangan Terbang Sofia, Bulgaria sehari sebelum itu.

Sewaktu berdepan dengan tuduhan merogol dan membunuh Marinova, lelaki itu duduk di dalam mahkamah dengan tangannya bergari dan dikawal oleh pegawai-pegawai polis.

Para penyiasat berkata, wartawan terbabit telah dirogol, dipukul dan dilemaskan sebelum dihumban di sebuah taman berdekatan sungai Danube di Ruse pada 6 Oktober lalu.

Pihak pendakwa menyatakan, Krasimirov memberitahu mereka, dia tidak bermaksud untuk membunuh Marinova, dan dia menafikan telah merogol dan merompak mangsa.

Perkara yang sama turut diberitahu oleh Krasimirov kepada pemberita sebelum mahkamah daerah bersidang.

Katanya: “Saya sangat menyesal. Saya tidak percaya saya telah melakukannya.”

Setakat ini, pihak polis telah menolak andaian bahawa pembunuhan wartawan berusia 30 tahun itu berkemungkinan

mempunyai kaitan dengan kerjayanya yang membuat laporan tentang rasuah.

Mahkamah Daerah Bulgaria memerintahkan lelaki itu ditahan sehingga perbicaraannya kelak.

Ketua Pendakwa Bulgaria sebelum itu mengumumkan bahawa seorang suspek telah ditangkap di Jerman berhubung pembunuhan kejam Marinova.

Warganegara Bulgaria itu diberkas dalam tempoh hampir 24 jam di Jerman selepas seorang lelaki Romania ditahan oleh pihak berkuasa Bulgaria berhubung kes tersebut.

Suspek lain itu yang merupakan `warganegara Romania dengan pasport Moldova’ ditahan sementara dakwaan alibi yang dinyatakan lelaki tersebut disiasat, menurut ketua pesuruhjaya polis Ruse, Teodor Atanasov.

Pihak pendakwa pada awalnya menyiasat sama ada pembunuhan itu disebabkan oleh kerjaya Marinova, kehidupan

peribadinya atau dilakukan secara rambang oleh penyerang yang mempunyai masalah kesihatan mental, memandangkan mayat wanita itu ditemukan berhampiran sebuah klinik psikiatri.

Kali terakhir muncul dalam rancangan televisyen sebagai pengacara pada 30 September lalu, Marinova memperkenalkan dua wartawan yang menyiasat dakwaan rasuah melibatkan dana Kesatuan Eropah (EU).

Penampilan tersebut adalah kali pertama dia mengacarakan rancangan di sebuah rangkaian televisyen Ruse, RVN iaitu sebuah siaran popular di timur-laut Bulgaria.

Sebelum ini, ibu kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun itu dikenali kerana mengacarakan rancangan gaya hidup dan bukanlah seorang yang cukup terkenal di negara tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Mladen Marinov berkata, tidak terdapat bukti yang menunjukkan terdapat kaitan kes itu dengan kerja-kerja Marinova sebagai seorang wartawan setakat ini, yang turut disokong oleh pihak polis dan pendakwa raya.

Marinov memberitahu pemberita: “ Kami sedang meneliti sebarang motif yang munasabah dan kami tidak mengecualikan apa-apa pun.”

Katanya, setakat ini tiada sebarang padanan ditemukan dengan sampel-sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang dikumpulkan dari tempat kejadian.