Perkara itu ditentukan secara sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh ketika menolak rayuan lelaki tersebut yang sewaktu kejadian berusia 16 tahun.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Yaacob Md. Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berpuas hati bahawa bukti keterangan yang direkodkan menunjukkan perayu bertanggungjawab membunuh mangsa.

Sehubungan itu, kuorum berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh pada 20 Januari tahun lalu yang memerintahkan pemuda berkenaan ditahan di penjara di bawah perkenan Sultan Pahang.

Hakim Mahkamah Tinggi tersebut, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman dalam keputusannya berkata, tertuduh tidak boleh dijatuhi hukuman mati kerana dia berusia 16 tahun lima bulan ketika kejadian.

Ujar hakim itu, Seksyen 97(a) dan (2) Akta Kanak-kanak 2001 menggantikan hukuman mati dengan perintah agar dia ditahan di penjara selama mana yang diperkenankan oleh Sultan Pahang.

Perayu diwakili oleh peguam-peguam R. Anita dan Ramesh K.S. Vasan manakala Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar mewakili pihak pendakwaan.

Pemuda tersebut disabitkan membunuh Qui Ling, 32, di antara pukul 2.30 petang dan 4.35 petang, 3 Disember 2012, di bilik hotel berkenaan.

Keterangan kes menyatakan, mangsa ditemukan oleh seorang pekerja hotel itu di luar bilik berkenaan dalam keadaan kesakitan manakala lehernya terdapat kesan kelar serta banyak kesan darah di dalam bilik itu.

Polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemukan beberapa barang kes termasuk sarung pisau celoreng, kondom, pita pelekat dan 10 kesan cap jari.

Siasatan turut menyatakan, perayu pernah menghubungi seorang bapa ayam pada hari kejadian bagi mendapatkan khidmat seks dan diberikan tiga nombor bilik termasuk bilik tempat kejadian.

Perayu ditangkap di Kluang, Johor enam hari kemudian dan polis menjumpai beberapa barang kes di rumah perayu dan beberapa barang kes lain termasuk sebilah pisau dan tiket loteri di sebuah rumah berdekatan. - UTUSAN ONLINE