M. Kumaraguru, 46, didakwa atas pertuduhan menerima wang sejumlah RM100,000 dan RM200,000 iaitu merupakan hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun RHB Bank Bhd. milik Mentari Maju Textiles yang dia merupakan pemilik perniagaan tunggal.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di RHB Bank Bhd., RHB Islamic cawangan Utama Kuala Lumpur, Tingkat 1, UOA Centre, No. 19, Jalan Pinang di sini, antara 17 Januari dan 23 Februari 2017.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Bagi kesemua pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE