Zurina Ahmad Jundin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

Wanita itu didakwa memperdayakan Nor Ika Nadzirah Sirajudin supaya menyerahkan wang tunai RM8,500 sebagai bayaran deposit bagi kos upah pakej perkahwinannya yang berlangsung pada 16 September lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Zurin Jundi Wedding Planner, Bandar Baru Uda di sini antara 22 Mac dan 13 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Mohd. Nasir manakala tertuduh tidak diwa­kili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Disember ini, sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pada 30 Ogos lalu, akhbar melaporkan lebih 100 pengantin dan bakal pengantin mendakwa terpedaya dengan tawaran sebuah syarikat dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah RM500,000.

Berpuluh mangsa yang mendakwa ditipu menyerbu syarikat Zurin Jundi sehingga tular di media sosial berikutan kegagalan syarikat perancang perkahwinan itu menyediakan sajian makanan, pelamin dan gambar perkahwinan.

Kebanyakan bakal pengantin yang menjadi mangsa mendesak syarikat perancang perkahwinan itu memulangkan semula duit yang dibayar antara RM2,000 dan RM10,000.

Pada 19 Oktober lalu, Zurina didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas dua pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan kerugian berjumlah RM7,000 awal tahun ini.