Hakim Hilmiah Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas Dr. Mansor Ramli, 46, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan yang dibacakan oleh jurubahasa kepadanya selaku orang kena saman (OKS).

Mengikut kedua-dua pertuduhan pindaan, OKS sebagai peme­gang perakuan pendaftaran bagi Klinik Famili TTDI telah menggunakan khidmat individu bernama M. Sathissh Anandh, 33, dan Rossnah Mansor, 60, yang bukan pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971.

Kedua-dua kesalahan itu di­dakwa dilakukan di sebuah pre­mis di Jalan PJS 2, Taman Medan Jaya, Jalan Klang lama dan sebuah premis di Jalan PJS 8/12, Dataran Mentari di sini antara pukul 11 dan 11.15 pagi, 8 Julai 2015.

Mansor didakwa di bawah Seksyen 31(1)(c) Akta Kemudahan Dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000.

Mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM20,000 atau penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu peguam, Zamry Idrus yang mewakili OKS memohon denda yang rendah memandangkan anak guamnya menyesal dan insaf atas kesalahan yang telah dilakukan.

“OKS sudah berpengalaman selama 15 tahun dalam menjalankan klinik perubatan. Ketika kejadian OKS tidak memberi perhatian terhadap kliniknya kerana ketika itu arwah isterinya sakit,” kata Zamry.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Kesihatan, Nurshuhada Mohd. Yatim bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan atas alasan kesalahan yang dilakukan OKS merupakan perkara serius membabitkan kepentingan awam.

“Perbuatan OKS memberi kesan dalam rawatan pesakit dan ubat yang salah boleh membawa kepada kemudaratan dan mengancam nyawa pesakit,” kata Nurshuhada.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, bertindak atas aduan, satu serbuan telah dibuat oleh pegawai dari unit kawalan amalan perubatan swasta ke atas sebuah Klinik Famili TTDI kerana pemilik klinik itu disyaki menggunakan khidmat seorang doktor yang tidak berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia.

Hasil pemeriksaan ke atas seorang wanita yang bertugas sebagai doktor di klinik tersebut mendapati dia gagal mengemukakan dokumen-dokumen seperti Sijil Amalan Tahunan 2015(APC) dan sijil pendaftaran perakuan penuh penama.