Majistret Siti Salwa Ja'afar menjatuhkan hukuman itu selepas Lim Lai Heng, 45, membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja kes itu dipanggil semula hari ini untuk perbicaraan di peringkat bela diri.

Lai Heng diperintah membela diri selepas Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Julai lalu membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret pada 25 November 2016 yang melepas dan membebaskan tertuduh daripada semua pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Lai Heng didakwa merakam aksi tiga lelaki dan lima wanita berusia antara 17 dan 53 tahun yang mandi dalam keadaan bogel melalui CCTV yang dipasang di dalam bilik air tingkat atas inap desa miliknya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Ipoh Garden Homestay, Taman Canning dekat sini antara pukul 2.30 petang hingga 11.30 malam, 27 Julai 2014.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Azriah Zaid mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Siti Salwa dalam keputusannya menetapkan denda RM8,000 atau penjara enam bulan bagi enam pertuduhan yang membabitkan enam mangsa manakala bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, Lai Heng didenda RM2,000 atau penjara enam bulan.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan alasan pengakuan salah tertuduh dibuat terlalu lewat selepas dua tahun 10 bulan.

“Selain itu, kepentingan awam harus mengatasi kepentingan tertuduh dan kes ini amat serius kerana telah menjejaskan industri inap desa di negara ini,” kata Nurul Azriah.

Tertuduh yang diwakili peguam Dexter Mah, membayar denda tersebut.