Tertuduh, Masuelan Awae, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Muhammad Yusuff Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Masuelan didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak petrol dengan kuantiti 103 liter di dalam tangki tambahan ubahsuai di bawah tempat duduk belakang kenderaan jenis Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran WHH 6367.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Stesen Minyak Petron, Rantau Panjang dalam jajahan Pasir Mas, kira-kira pukul 11.15 pagi, pada 19 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 akta sama yang boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Pasir Mas, Zubaery Othman manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, bapa kepada tiga anak itu merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan perlu menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membebaskan tertuduh selepas denda berkenaan dijelaskan pada pukul 10 pagi dan sekiranya gagal boleh dihukum penjara selama lima bulan. - UTUSAN ONLINE