Noor Shakila Shaari, 30, yang turut menjual beg tangan mewah secara dalam talian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Candice Ng Wei Lynn, 28, agar memasukkan wang berjumlah RM9,000 ke dalam akaun Public Bank milik tertuduh bagi satu transaksi penjualan beg tangan jenama Chanel yang tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No. 91 Lorong CP3 /22A Taman Cheras Perdana, Batu 9, Cheras dekat sini antara 30 Ogos dan 5 September tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperdayakan Yeoh Cheong Ai, 39, untuk memasukkan wang berjumlah RM8,500 ke dalam akaun Maybank milik tertuduh bagi satu transaksi penjualan beg tangan jenama Christian Dior yang tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah, Cassia West Goodview Height, Jalan Goodview 5, Hulu Langat dekat sini antara 14 Ogos dan 27 Oktober tahun lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, R. Siamalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 11 Mei untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE