TIU SONG GUAN diiring penguat kuasa KPDNKK selepas didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuantan, Pahang, semalam. UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

Tiu Song Guan, 21, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah gagal mengemukakan dokumen berkaitan tindakannya menaikkan harga pakaian secara drastik ketika pemeriksaan dilakukan oleh pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri.

Mengikut pertuduhan, Penolong Pegawai KPDNKK negeri, Rozma Abd. Rahman telah menyerahkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada pekerja tertuduh di premisnya di Ten Boutique, A1GF Jalan Bukit Sekilau di sini pada 12 Mei 2015.

Tertuduh melalui notis itu diminta menyerahkan maklumat berkaitan blaus wanita yang dijual di premisnya dalam tempoh tiga hari iaitu sehingga 15 Mei 2015.

Song Guan bagaimanapun me­lakukan kesalahan mengikut Sek­syen 21 (5) akta tersebut apabila gagal menyerahkan maklumat yang lengkap dalam tempoh tersebut.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Firdaus Abu Hanipah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Song Guan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia memperoleh pendapatan sekitar RM2,100 sebulan selain perlu menanggung per­belanjaan ibu bapanya.

Bagaimanapun, Mohd. Firdaus memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana Song Guan adalah pemilik butik yang perniagaannya didapati stabil berdasarkan kepada keadaan premis.

“Mahkamah perlu mengenakan hukuman yang setimpal kerana kesalahan itu membabitkan isu kenaikan harga barang yang hangat diperkatakan pada masa kini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK negeri, Alwi Abd. Hamid berkata, sebaik sahaja pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) April lalu, pihaknya menerima aduan premis berkenaan menaikkan harga secara mendadak daripada RM10 kepada RM12 bagi semua pakaian yang dijual.

“Pihak kami telah melakukan pemeriksaan dan mengeluarkan notis agar pemilik butik berkenaan memberi sebab mengenai kenaikan harga pakaian tersebut.

“Dia cuba mengemukakan beberapa dokumen dalam tempoh yang diberikan namun tidak lengkap. Pihak KPDNKK sekali lagi mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21(5) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 namun pemilik berkenaan gagal mengemukakan dokumen berkaitan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.