Mohd. Hezzam Arfaei Mat Hassan, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim Hilmiah Yusof.


Bagi pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa menerima wang sejumlah RM524,205.56 yang merupakan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram ke dalam akaun Malayan Banking Berhad cawangan Equine Park miliknya di Malayan Banking Berhad, B-1, Block B, Persiaran Akademi Perdana, Taman Equine, Bandar Putra Permai antara 23 November 2014 dan 1 Januari 2015.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).


Hilmiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap satu haribulan setiap bulan.


Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan 3 Mei ini untuk sebutan semula kes.-UTUSAN ONLINE