Peluang untuk ‘menghapuskan’ keempat-empatnya terbuka luas apabila Sosilawati sendiri memaklumkan kepada Pathamanabhan kehadirannya ke ladang tersebut bagi menuntut bekas peguam itu melunaskan pembayaran dua keping cek bernilai RM4 juta.

Kehadiran Sosilawati bersama tiga rakannya memudahkan laluan untuk membunuh mereka apabila kayu balak kemudian dibawa masuk ke ladang milik bekas peguam itu yang selanjutnya digunakan untuk membakar keempat-empatnya.

Bukti pembakaran itu dinyatakan melalui keterangan pembantu ladang, Siti Hamidah Karnax yang mendengar suara perempuan menjerit dan api menjulang dari ladang yang kemudian disokong oleh penemuan reja kayu di situ.

Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan berpuas hati bahawa bukti keterangan adalah kukuh bahawa Sosilawati dan tiga rakannya dibunuh di ladang tempat kejadian pada masa seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Demikian dapatan Mahkamah Persekutuan ketika mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadap Pathmanabhan, 47, T. Thilaiyalagan, 25, dan R. Kathavarayan, 37, selepas menolak rayuan akhir mereka terhadap sabitan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Bagaimanapun, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria melepas dan membebaskan, R. Matan, 26, daripada sabitan dan hukuman mati selepas berpuas hati bahawa bukti tidak mencukupi bagi mengaitkannya dengan tuduhan membunuh mangsa.

Hakim Arifin ketika membaca penghakimannya berkata, Matan hanya seorang pekerja ladang dan bukti yang ada bagi mengaitkan-nya dengan kejadian itu diperoleh melalui keterangan Siti Hamidah yang melihat lelaki itu menyusun kayu balak di ladang berkenaan, sehari sebelum kejadian.

Pada hemat beliau, tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana tiada bukti yang menunjukkan Matan terlibat dalam sesi penemuan barang kes oleh pihak polis.

Menurut beliau, kesan darah pada dua kepingan zink yang ditemukan di tempat kejadian sepadan dengan profil Asid Deoksi-ribonukleik (DNA) Ahmad Kamil dan Kamaruddin manakala profil DNA Noorhisham turut ditemukan pada kayu pemukul kriket, menguatkan lagi kes pendakwaan.

Ujar Hakim Arifin, keganasan berlaku dalam kes pembunuhan tersebut berikutan penemuan kesan darah mangsa pada kayu pemukul kriket, kepingan zink dan dinding rumah ladang.

Panel berkenaan turut menya­ta­kan secara terperinci usaha ke­tiga-tiga perayu menyembunyikan jejak pembunuhan dengan cara membakar kesemua mangsa bagi mengelakkan ladangnya dikaitkan dengan kejadian tersebut.

Barang-barang peribadi mang­sa dilupuskan di beberapa tempat atas arahan Pathmanabhan selain usaha mengelirukan pihak polis dengan cara meletak kenderaan Sosilawati di USJ1 di Subang Jaya dan kereta Ahmad Kamil di SS12 bagi mengelak kehadiran jutawan itu ke Banting, dikesan.

Sehubungan itu, panel tersebut merumuskan bahawa bukti ke­terangan yang diperoleh hanya menjurus kepada satu kesimpu­lan bahawa keempat-empat mang­­sa menemui ajal yang tidak diduga di ladang berkenaan akibat perbuatan Pathmanabhan dan bekas anak-anak buahnya.