Tindakan Muhamad Hafizi Mat Jusoh bagaimanapun mengundang padah apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadapnya selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan termasuk dakwaan memberikan latihan membuat bahan letupan tersebut.

Pada 20 April lalu, mahkamah sama telah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 25, dan Mahadi Ibrahim, 35, selepas kedua-dua buruh kasar itu me­ngaku bersalah atas beberapa pertuduhan membabitkan kegiatan keganasan termasuk menerima latihan membuat bom.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Hafizi yang kini berusia 20 tahun didakwa telah memberikan latihan membuat bahan letupan melalui kumpulan perbualan WhatsApp The Rise Of Jundullah di Kota Bharu, Kelantan, di antara pukul 9.07 malam dan 10.28 malam, 23 September 2017.

Pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd. Noor mengikut subseksyen 130F(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130 akta sama yang memperuntukkan hukuman pen-
jara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Muhamad Hafizi juga didakwa datang ke sebuah kawasan tanah lapang berhampiran bangunan tapak semaian benih padi di Gong Kulim, Pasir Puteh, Kelantan walaupun mengetahui satu latihan persediaan berkaitan keganasan sedang dilakukan di antara pukul 3.30 petang dan 4 petang, 10 Oktober tahun lalu.

Bagi kesalahan ini, pertuduhan terhadapnya yang diwakili peguam Ariff Azami Hussein dikemukakan mengikut Seksyen 130FB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 130 FB(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda.

Pada tarikh yang sama, kira-kira pukul 4.30 petang di Restoran K&K, Jalan Tok Janggut, Kampung Kelubi, Kelantan, remaja terbabit didakwa atas dua pertuduhan memiliki 76 item termasuk gambar dan klip video berkaitan kumpulan pengganas Daesh, al-Qaeda dan Jemaah Ansharut Tauhid yang dimuat naik ke dalam akaun Instagram miliknya dan juga te­lefon bimbit tertuduh.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) dan (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 130JB(1) akta sama yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak ke atas item terbabit.

“Mahkamah tidak mempunyai pilihan lain selain menjatuhkan hukuman penjara bagi kesalahan yang dilakukan. Kamu adalah pesalah muda dan mempunyai idea yang bernas tetapi ia mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Awak sepatutnya belajar de­ngan lebih baik agar boleh menjadi ahli sains dan menghasilkan benda berguna kepada negara,” katanya.