Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Raja Ahmad Faizal Raja Mohamed, 38, selepas dia mengaku bersalah atas lima pertuduhan mengugut dan satu pertuduhan memiliki pasport milik individu lain.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Raja Ahmad Faizal telah menakutkan secara jenayah terhadap Biplob Saha, 41, Gopinath Saha, 35, Nasir, 40, Narayanch, 44, dan Kamal Das Kamal, 27, dengan mengeluarkan perkataan ‘sekiranya tidak membuat bayaran deposit untuk mendapatkan permit kesemua mangsa akan ditangkap pada hari sama’.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bengkel kereta Airista, Jalan Pandan Utama, Jalan 1, Pandan Indah, dekat sini kira-kira pukul 3 petang, 23 Julai lalu dan dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Raja Ahmad Faizal turut mengaku bersalah memiliki dua pasport milik dua wanita Indonesia, Suriyah dan Sumai di Lot 9488 Kampung Tanjung Rawang, Gombak pada pukul 8.10 malam, 7 September lalu.

Tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai lima anak yang masih kecil itu didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan mengugut manakala penjara 10 bulan bagi pertuduhan memiliki pasport individu lain, kesemuanya berjalan serentak mulai dari tarikh tangkap pada 7 September lalu.

Di mahkamah sama, Raja Ahmad Faizal dan teman wanitanya, Fazlina Ibrahim, 25, yang bekerja sebagai kerani sambilan mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan niat bersama telah menyamar sebagai ‘pegawai imigresen’ di bengkel kereta tersebut pada masa dan tarikh sama.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan pasangan kekasih itu masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Mengikut keterangan kes, pengadu bersama lima mangsa berada di bengkel tersebut telah didatangi kedua-dua tertuduh yang memakai vest mempunyai logo Jabatan Imigresen dan terus memperkenalkan diri sebagai Timbalan Pengarah bahagian penguat kuasa Imigresen Putrajaya.

Mereka memberitahu sedang melakukan rondaan untuk memeriksa pasport dan kesemua mangsa mempercayainya malah kedua-dua tertuduh telah meminta setiap mangsa wang RM5,000 untuk tujuan pembaharuan permit kerja. -UTUSAN ONLINE