Tertuduh, Noormazida Mukhtar, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Kamarulzaman A. Wahab.

Dalam pertuduhan pertama, Noormazida didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang berjumlah RM30,000 yang merupakan hasil aktiviti haram dari akaun bank, JIE Excellent Enterprise ke akaun bank milik suaminya, Mohd. Fikri Izani, 26, di Maybank Kuala Berang, Hulu Terengganu pada 29 Julai lalu.

Dalam pertuduhan kedua hingga ke-16 pula, tertuduh didakwa menggunakan wang milik akaun bank syarikat sama melibatkan transaksi keseluruhan berjumlah RM102,277.23 di lokasi sama.

Transaksi sebanyak 15 kali itu didakwa dilakukan antara 4 Mac dan 6 Julai lalu.

Bagi setiap pertuduhan berkenaan, Noormazida didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegah Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan

Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi.

Mohammad Haldar membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM40,000 dan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 23 Oktober depan.

Bagaimanapun, Noormazida gagal membayar wang jaminan berkenaan dan ditahan di dalam lokap di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Sebelum ini, pada 20 September lalu, tertuduh didakwa dengan enam pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi tender pembekalan telur dan susu bernilai RM211,646 kepada HSNZ bersama suaminya. - UTUSAN ONLINE