Tertuduh, Abdul Kahar Kalid bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Perkeranian/Operasi di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Penyelidikan Universiti Sains Malaysia (USM) didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 Julai hingga 10 Ogos 2011.

Dia didakwa menggunakan jawatannya untuk mencadangkan syarikat Neo Global Enterprise untuk membekalkan beberapa barangan di pusat pengajian terbabit yang mana syarikat terbabit adalah milik isterinya, Salena Alias.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada prosiding itu, Timbalan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rais Imran Hamid menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan namun dibantah oleh peguam tertuduh Zainal Akram Zainal Azahar.

Hakim Nizam kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kesemua pertuduhan dan 13 September ini ditetapkan untuk serahan dokumen. - UTUSAN ONLINE