Hakim Datuk Ghazali Cha memutuskan demikian terhadap Kher Tian Hock, 41, setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melam­paui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Lelaki itu didakwa membunuh See Sheau Fang, 18, di No. 44, Jalan Wira 24, Taman Perwira Sijangkang, Telok Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini, antara pukul 9.30 pagi dan 5.30 petang, 28 Februari 2004.

Dalam penghakimannya, Hakim Ghazali berkata, pembelaan tertuduh yang merupakan bapa kepada enam anak itu hanya rekaan semata-mata dan penafian kosong serta gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

“Adalah tidak masuk akal apabila tertuduh memberitahu mengorek lubang seluas 4 x 5 kaki (1.2 x 1.5 meter) untuk membuat tempat letak kereta sedangkan tiada sebarang pelan untuk membuatnya, lubang yang dikorek adalah untuk menanam mangsa,” kata beliau.

Kata beliau lagi, tertuduh mendakwa mangsa adalah kawan adik lelakinya tetapi tertuduh lebih rapat dengan mangsa kerana remaja itu telah memeluk dan mencium tertuduh.

Menurut Hakim Ghazali, tertuduh juga membuat pembelaan yang tidak masuk akal semasa lari dari lokap dengan alasan takut dipukul oleh orang ramai sedangkan orang awam tidak mempunyai akses ke lokap dan tertuduh diawasi pihak polis.

“Saya percaya perbuatan tertuduh itu adalah untuk melepaskan diri daripada pertuduhan,” kata beliau.

Pendakwaan yang dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noorbaya Jamil mengemukakan 23 saksi sepanjang perbi­caraan manakala pihak pembe­laan yang diwakili peguam C.W. Chan hanya mengemukakan tertuduh sebagai saksi.

Tian Hock didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh pertama kali didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datuk, Banting atas tuduhan tersebut pada 28 Oktober 2011 setelah ditangkap semula pada 20 Oktober 2011.

Lelaki itu meloloskan diri dari lokap Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 13 Mac 2004 semasa ditahan reman untuk membantu siasatan kes itu dan selepas itu menghilangkan diri selama tujuh tahun.

Laporan akhbar pada 2004 menyebut mayat Sheau Fang yang dipercayai dirogol ditemukan dalam lubang yang ditutup dengan konkrit di depan sebuah rumah dalam kawasan perumahan.

Pembunuhnya dipercayai meng­gunakan jengkaut untuk mengorek lubang sedalam 1.7 meter sebelum menutup kawasan itu dengan simen.

Remaja tersebut yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 26 Februari 2004 selepas dipercayai keluar bersama seorang lelaki pada pukul 9 malam.