Tertuduh A. Mohanraj, 42, membuat pengakuan tersebut  selepas menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan semula kes di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 14 September tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Moharaj didakwa dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di kedai dobi Queen Self-Service, Taman Gombak Ria, di sini pukul 12.54 tengah malam hingga 1 pagi, pada 16 September tahun lalu.
      
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dihukum mengikut Seksyen 29 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
      
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta agar hukuman ringan dikenakan atas alasan perlu menanggung isteri dan menjaga ibu yang sakit.

Namun Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Roslan Mohd. Isa, memohon agar satu hukuman dikenakan kerana kes itu membabitkan kepentingan awam.

Pada 20 September 2018, Mohanraj dan juruteknik, SS Satthiya, 26, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen.

Pada 16 Oktober tahun lalu, pekerja kontrak, K Ganesh 41, pula dihadapkan ke mahkamah dan mengaku tidak bersalah atas kesalahan sama.

Bagaimanapun, pada prosiding sama, Satthiya, dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah untuk dijadikan saksi pendakwaan. - UTUSAN ONLINE