Azri Ismail (gambar), 45, didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas suri rumah, Noor Aishah Ahmad, 44, dengan menumbuk muka mangsa sehingga patah di bahagian hidung di sebuah premis di Taman Aman Putra, Jinjang Utara, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari, 27 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.

Pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh dan Azri yang tidak diwakili peguam pula tidak membuat sebarang rayuan.

Hakim Mahyon Talib tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 14 September ini untuk sebutan kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Azri kemudian direman di Penjara Sungai Buloh.

Difahamkan kejadian berlaku disebabkan perselisihan faham antara tertuduh dan isterinya.