Hakim Chan Jit Li menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Bueraheng Tohsatu, 46, hari ini menukar pengakuan kepada bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bapa kepada lima orang anak itu diarahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 2 September 2016.

Mengikut pertuduhan, Bueraheng didakwa mengangkut migran yang diseludup iaitu Bugorn Somno, 50, dan Punyanuch Babpimai, 31, pada kira-kira pukul 7 pagi, 2 September lalu di Kilometer 1.3, Lebuh Raya Utara Selatan menghala utara.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen, Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala tertuduh diwakili Mohd. Hezeri Harun. - UTUSAN ONLINE