Tertuduh, Syakhirul Nazif Amrah,25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Fitri Sadarudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, isteri, Norhaslina Abdul Razak, 27, dan adiknya, Nor Azira Ahmad Azzudin, 24.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira pukul 6.30 pagi di Kilometer 35, Jalan Bota Kanan - Teluk Intan di sini pada 13 Disember lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Harbans Kaur.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan tarikh 17 Januari untuk sebutan semula kes.

Mohd. Fitri turut menetapkan syarat tambahan lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. - UTUSAN ONLINE