Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman itu selepas Nik Muhamad Khairul Azhar Nik Azmi, 28, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan kepadanya.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu sebuah lori yang membawa muatan batu secara berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain apabila tidak memberhentikan kenderaan itu untuk pemeriksaan semasa sekatan jalan raya dan cuba melanggar anggota polis serta melanggar beberapa buah kenderaan lain.


Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Suntex Pekan Batu 9, dekat sini pada pukul 11 pagi, 7 Mei lalu dan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memandu atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan sekiranya dia memiliki lesen memandu, lesennya digantung selama tiga tahun serta jika tertuduh tidak mempunyai lesen memandu, dia hilang kelayakan memandu selama tiga tahun.


Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan cubaan membunuh dengan cuba melanggar dan menghimpit seorang anggota polis, Mohd. Ridzuan Zakaria menggunakan lori yang dipandu di Kilometer 12, Lebuhraya Grand Saga dekat sini pada masa dan tarikh yang sama.


Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda serta jika mendatangkan kecederaan, maka boleh dipenjara sehingga 20 tahun. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan itu.


Bagi pertuduhan ketiga, Nik Muhamad Khairul Azhar didakwa dengan sengaja melanggar sekatan jalan raya dan menghalang Inspektor Afiq Azhar Azrul Hardav menjalankan tugasnya pada tarikh dan waktu yang sama di Jalan Suntex Pekan Batu 9, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya. Tertuduh dijatuhi penjara setahun bagi kesalahan itu.


Mengikut pertuduhan keempat, lelaki itu didakwa telah melakukan perbuatan khianat iaitu dengan sengaja melanggar sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna hitam milik Mohd. Suffian Husaini Mohamed, 37, sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM2,000.


Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 12, Lebuhraya Grand Saga dekat sini pada tarikh dan waktu yang sama serta didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi kesalahan itu.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap, 7 Mei lalu.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suraya Ahmad manakala peguam Nor Asyikin Zakaria mewakili tertuduh. - UTUSAN ONLINE