Abdulmin Ambing, 47, yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa atas dua pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis heroin dan monoacetymorphines seberat 1.82 gram (g) serta memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badannya.


Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan masing-masing di tepi Jalan Berhala di sini pada pukul 7.45 malam dan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini kira-kira pukul 8.50 malam, 9 Mac lalu. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2002).


Bagi kesalahan pertama, Abdulmin dihukum penjara lima bulan manakala kesalahan kedua, dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan.


Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut secara serentak bermula dari tarikh tangkap pada 9 Mac lalu.


“Tertuduh juga diperintah untuk berada di  bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun,” katanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menanggung ahli keluarga dan hanya mempunyai gaji RM1,200 sebulan manakala Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabila Kamarudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. - UTUSAN ONLINE