Maswan Hussain, 34, berasal dari Felda Selendang 1, Rompin dekat sini membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Tertuduh didakwa menawarkan pinjaman kepada lima individu sebanyak RM2,000 setiap seorang antara 24 Oktober dan 15 Disember tahun lalu di sekitar Rompin.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shahrul Ekhsan Hassim mencadangkan jaminan RM120,000 bagi semua pertuduhan atas alasan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan pendapatannya hanya sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

“Dengan gaji itu saya perlu menanggung emak, seorang isteri yang tidak bekerja dan dua anak masih kecil,” katanya.

Siti Aminah menetapkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin dan 5 April ini bagi sebutan semula kes.

Berdasarkan siasatan polis, tertuduh ditahan pada 28 Februari lalu di depan Pasar Besar Rompin bagi membantu siasatan aktiviti ceti haram atau ah long dengan faedah sebanyak 30 peratus melibatkan sekurang-kurangnya 50 mangsa di daerah itu.