Mohamad Insani Abdul Ghani, 32, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan selesai dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Marlissa Fahmy.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream bernombor pendaftaran JHQ 3822 secara berbahaya di simpang tiga Jalan Permata 2, Nilai 3 antara pukul 5.15 petang dan 6 petang, 4 Julai lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Lelaki terbabit turut didakwa menggunakan kenderaan tidak di­daftarkan, mempamerkan nom­­bor pendaftaran bukan kepu­nyaan kenderaan itu, memandu tanpa lesen kenderaan bermotor di samping tiada polisi perlin­dungan insurans pada pukul 5.25 petang, tarikh dan tempat sama.

Empat pertuduhan itu masing-masing dikemukakan mengikut Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108(3)(f), Seksyen 23(1) dan Seksyen 90(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, lelaki itu berhadapan denda maksimum antara RM1,000 dan RM20,000 atau penjara maksimum antara tiga bulan dan lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan bapa kepada dua anak itu diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan sebutan semula kes pada 3 Ogos ini.

Tertuduh yang gagal menjelaskan wang jaminan dihantar ke Penjara Sungai Udang, Melaka.

Media pada Rabu lalu melaporkan, seorang lelaki yang sanggup melakukan apa sahaja demi meloloskan diri daripada ditahan JPJ dicekup pihak berkuasa selepas dia dikejar kira-kira 10 kilometer dari Jalan Semarak di sini sehingga Jalan Permata 2, Nilai 3, Isnin lalu.