Tertuduh, Muhammad Readha Adenan, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu dengan melulu, cuai dan merbahayakan orang awam sehingga menyebabkan kematian kepada Nur Hafizah Ismail, 22, dua adik kembarnya, Nur Ain Hanifah dan Muhammad Hanif, 8, serta bapa mereka, Ismail Yaacob, 53, di Kilometer 31.1, Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu dekat sini pada pukul 11 pagi 10 Disember lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak lebih RM20,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Muhammad Azfar mencadangkan wang jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.

Raja Shahril Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandunya digantung sehingga kes selesai. - UTUSAN ONLINE