V. Karitikesoo, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan laman profil ‘Suresh Don Don’ itu di Kilang Osram, Bayan Baru di sini, pada 8.30 pagi, 23 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara sehingga setahun dan/atau kedua-duanya serta denda RM1,000 bagi setiap kesalahan sama yang diulangi.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 April depan untuk sebutan kes. Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Yusaini Amer Abdul Karim manakala tertuduh diwakili peguam Sukhindarpal Singh.

Media sebelum ini melaporkan seorang pengurus kilang berusia 47 tahun membuat laporan polis berikutan gambarnya digunakan oleh satu akaun Facebook yang memuat naik status berbaur perkauman, memaki hamun dan menghina agama Islam.

Dalam kes berlainan, seorang lelaki warga Myanmar direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memberi rasuah kepada seorang anggota polis kerana menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Noor Fazlina Musa selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan, lelaki itu yang merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) tidak memiliki lesen memandu dan memasukkan wang berjumlah RM50 ke dalam poket sebelah kanan anggota polis berkenaan. Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009. - BERNAMA