Anuar Wahab, 46, berasal dari Jengka, Pahang yang memakai baju T berwarna putih dan berseluar hitam mengaku tidak bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan kepadanya di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan peniaga makanan didakwa memandu kenderaan dengan berbahaya kepada orang awam sehingga mengakibatkan kemalangan jalan raya di Kilometer 12.5, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), dekat sini, kira-kira pukul 10.45 pagi, 7 September lalu.

Pertuduhan terhadap Anuar dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah V. M. Abdul Latif mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh namun peguam M. Saravanan yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan berikutan anak guamnya datang daripada keluarga susah dan mempunyai empat anak yang bersekolah serta isteri tidak bekerja.

Abdul Jalil kemudian membenarkan Anuar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran sementara menunggu sebutan kes pada 16 Oktober ini.

Dalam kejadian pukul 10.45 pagi semalam, empat pelumba daripada dua basikal ber­asingan terbabit dalam kemalangan tersebut ketika mereka sedang menjalani latihan intensif bersama tiga lagi pelumba sebagai persiapan menghadapi Sukan Para ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada 17-23 September ini.

Pelumba para buta yang ce­dera adalah Mohd. Khairul Azwan Wahab, 25, manakala pilot (pelumba pengiring) yang patah kaki adalah Mohd. Nur Syafiq Suhaimi, 25.

Mohd. Nur Syafiq adalah pengiring kepada pelumba buta lain iaitu Mohd. Khairul Nizam Mohd. Ali, 19, yang turut mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Pilot kepada Khairul Az­wan iaitu Mohd. Nor Ridzuan Zainal, 31, cedera di beberapa anggota badan selain disyaki cedera tulang belakang.