KHAIRUL NORDIN

Keputusan sebulat suara terhadap Khairul Nordin, 46, itu diputuskan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Rohana Yusuf yang bersidang bersama Datuk Yaacob Md. Sam dan Datuk Rhod­zariah Bujang.

Kuorum berkenaan berpuas hati, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf ketika mencapai keputusan tersebut yang memerlukan panel itu me­ngubahnya.

Sehubungan itu, rayuan tersebut ditolak selepas Mahkamah Rayuan berpendapat, sabitan dan hukuman adalah selamat untuk dikekalkan.

Khairul didapati bersalah membunuh Abdul Rashid Ahmad, 48, di halaman rumah Lot 115A, Kilometer 18, Kampung Serkam Pantai, Merlimau, Jasin, Melaka pada pukul 8 malam, 22 Ogos 2012.

Keterangan kes menyatakan, dalam kejadian itu, Abdul Rashid yang bekerja sebagai jurukimpal telah menegur Khairul (perayu) yang juga adik iparnya kerana sering memukul isterinya.

Akibat teguran itu, Khairul naik berang lalu berlaku pergaduhan hingga menyebabkan dia mengeluarkan sebilah pisau dan menikam Abdul Rashid hingga mati.

Selepas kejadian itu, Khairul melarikan diri selama setahun sebelum berjaya ditangkap pada 18 Oktober 2013 di Seremban, Negeri Sembilan.

Terdahulu, peguam Asmawi Ismail yang mewakili perayu berhujah, agar tuduhan terhadap anak guamnya dipinda daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 kanun sama ke­rana lelaki itu tiada niat membunuh abang iparnya.

Hujah peguam bela, berlaku pertengkaran yang diikuti dengan pergelutan menyebabkan mangsa tertikam dirinya sendiri ketika perayu cuba mempertahankan diri sewaktu pergelutan itu.

Hujahnya, perayu kemudian membawa abang iparnya ke hospital dengan keretanya sendiri sebelum menerima rawatan kerana turut mengalami kecederaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norinna Bahadun berhujah, hakim bicara betul ketika menolak pembelaan perayu yang bersandarkan kepada alasan mempertahankan diri.

Hujah pendakwa raya, mangsa sekadar menegurnya namun perayu bertindak balas dengan cara yang tidak sepatutnya dengan menikam mangsa sehingga menyebabkannya meninggal dunia.