Mengikut pertuduhan, Muhammad Syahrul Nizam Anuar, 27, didakwa memandu kenderaan berat tersebut secara laju sehingga menyebabkan kematian terhadap Ketua MCA Cawangan Balakong Jaya, Lam Wai Loon, 46; isteri­nya, Wong Cheq Lee, 53; dua anak mereka, Lam Jie Yang, 19, dan Lam Jie Hong, 13; adik Wai Loon, Lam Wei Keat, 35, serta bapanya, Lam Leong Choy, 76.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 403.2, Lebuh Raya PLUS, arah utara, Hulu Selangor, kira-kira pukul 7.46 pagi, 2 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amin Azmi mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM20,000 serta lesen memandu digantung, jika sabit kesalahan.

Muhammad Amin mencadang­kan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandu tertuduh perlu digantung manakala Muhammad Syahrul Nizam yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang permohonan rayuan.

Hakim Zulhelmy Hasan yang bertindak sebagai Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan kes.

Tarikh bicara pula ditetapkan tiga hari bermula 21 Ogos ini.