MUHAMMAD HAZIL HAKIMI AHMAD ZAKI

Muhammad Hazil Hakimi Ahmad Zaki, 26, dari Kuala Terengganu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Dia didakwa memandu bas ekspres syarikat SP Bumi bernombor pendaftaran WVW 7689 dari Gerik, Perak ke Jeli secara cuai sehingga berlaku kemalangan di Kilometer 124, Jalan Raya Timur Barat, Jeli pada pukul 1.30 pagi, 25 Disember lalu.

Perbuatannya itu membawa kepada kematian empat penumpang iaitu Muhammad Amir Abdul Rahim, 16, bersama ibunya, Hasiah Osman, 57, Mohd. Syafiq Azrul Azmi, 25, dan Nur Afiqah Alimi Mohd. Ali, 19.

Dakwaan terhadap Muhammad Hazil Hakimi dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya serta lesen memandu digantung.

Tertuduh yang memakai baju T kelabu serta berseluar gelap kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 ke atas tertuduh kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.

Peguam-peguam, Ahmad Nizam Mohamed dan Alias Ibrahim yang mewakili tertuduh pula memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana dia tidak memiliki rekod kesalahan lampau selain keluarganya hanya mampu membayar sebanyak RM5,000.

Amal Razim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 6 Mac tahun depan.

Lesen memandu pemuda itu juga digantung manakala pasportnya diarahkan supaya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan empat nyawa terkorban selepas bas ekspres membawa 30 penumpang yang dalam perjalanan dari Taiping ke Kuala Terengganu bergesel dengan sebuah treler pada pukul 1.30 pagi pada hari Krismas lalu.

(pakai keratan berita nahas terbitan 26 dis pg1/pg3)