Mahkamah akan memutuskan sama ada pandangan pembeli selaku pihak yang berkepentingan perlu didengar sebelum syarikat itu mengemukakan permohonan kepada Pengawal Perumahan bagi meminda tempoh masa penyerahan pemilikan kosong kepada pembeli.

Perkara itu akan dimuktamadkan dalam rayuan syarikat pemaju perumahan, BHL Construction Sdn. Bhd. dan lebih 100 pembeli unit Sri Istana Kondominium yang hak mereka terjejas ekoran kelewatan penyerahan pemilikan kosong unit kediaman tersebut.

Syarikat pemaju perumahan itu mendapat kebenaran untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang menghalangnya menangguhkan penyerahan pemilikan kosong selama setahun.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Rohana Yusuf membenarkan pihak-pihak yang berkaitan mengemukakan lima persoalan undang-undang dalam rayuan kelak.

Kedua-duanya merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan surat yang dikeluarkan oleh Pengawal Perumahan yang membenarkan BHL Construction melewatkan tempoh penyerahan pemilikan kosong kepada pembeli-pembeli unit selama setahun.

Keputusan itu yang diumumkan pada 30 Mac lalu adalah mustahak kerana menyentuh kepentingan pembeli-pembeli rumah yang terjejas ekoran kegagalan pemaju menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan.

BHL Construction merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Februari tahun lalu yang membenarkan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh pembeli-pembeli kondominium itu.

Mahkamah Rayuan dalam keputusannya mengiktiraf kepentingan pembeli rumah bahawa mereka berhak mengemukakan pendapat sebelum pemaju perumahan mengemukakan permohonan lanjutan masa menyiapkan projek perumahan.

Mahkamah memberi pertimbangan itu kerana kelewatan penyerahan pemilikan kosong memberi kesan yang besar kepada pembeli, sehubungan itu hak mereka wajar dilindungi. - UTUSAN ONLINE