Majlis Peguam dan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS)berpendirian, walaupun kedua-dua hakim tertinggi itu telah bersara pada 11 Julai lalu, persoalan undang-undang yang dikemukakan berhubung lanjutan tempoh perjawatan dan pelantikan hakim adalah penting dan menjadi panduan pada masa akan datang.

Sementara itu, tiga pihak lagi terdiri daripada Persatuan Peguam Muslim Malaysia selaku pencelah, Persatuan Undang-Undang Sabah sebagai sahabat mahkamah (amicus curiae) manakala Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku pemerhati turut sependapat dengan kedua-dua badan peguam tersebut.

Sehubungan itu, panel tujuh hakim diketuai oleh Tan Sri Hasan Lah menetapkan tarikh lain bagi menyampaikan pendirian mahkamah.

Hakim Hasan bersidang bersama, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim; Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Seri Balia Yusof Wahi, Tan Sri Aziah Ali dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Kuorum berkenaan yang selesai mendengar penghujahan pada 14 Mac lalu, memanggil semua pihak bagi menjelaskan pendirian masing-masing sama ada mahkamah perlu menyampaikan penghakiman atau sebaliknya, ekoran peletakan jawatan Raus dan Zulkefli.

Hakim Hasan menyatakan, mahkamah perlu mengetahui pendirian mereka memandangkan kini terdapat perubahan tampuk pemerintahan manakala kedua-dua hakim berkenaan tidak lagi berkhidmat dalam badan kehakiman.

Peguam Datuk S. Ambiga yang mewakili Majlis Peguam berpendirian, rujukan perlembagaan berkaitan isu pelantikan hakim tidak akademik walaupun Raus dan Zulkefli telah melepaskan jawatan masing-masing.

Sehubungan itu, mereka memohon mahkamah tertinggi negara mengumumkan keputusan dan memberikan interpretasi berhubung isu yang dikemukakan kerana hal itu menyentuh kepentingan awam.

Majlis Peguam dan AAS turut berpendirian, kehadiran Hakim Zaharah dalam panel itu tidak menyebabkan berlaku konflik kepentingan kerana pelantikan beliau tidak memberi kesan kepada isu yang dibangkitkan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili Jabatan Peguam Negara berpendirian, rujukan perlembagaan itu kini akademik manakala Hakim Zaharah tidak sepatutnya menganggotai panel bersidang kerana dikhuatiri wujud konflik.

Rujukan perlembagaan itu dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi dalam saman pemula oleh Majlis Peguam bagi menentukan kesahan pelantikan Raus dan Zulkefli ke jawatan masing-masing.

Majlis Peguam memfailkan saman pemula pada 10 Oktober tahun lalu untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli tidak sah dan berperlembagaan kerana kedua-duanya melepasi umur persaraan mandatori 66 tahun, enam bulan.

Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menangguhkan prosiding dan merujuk lima persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan kesahan pelantikan kedua-dua hakim tersebut.

Raus dilantik sebagai hakim tambahan bermula pada 4 Ogos tahun lalu bagi membolehkannya memegang jawatan Ketua Hakim Negara manakala Zulkefli pula dilantik sebagai hakim tambahan bermula 28 September tahun lalu untuk memegang jawatan tersebut. - UTUSAN ONLINE