MD. RAUS SHARIF

Itu antara alasan Hakim Datin Azizah Nawawi ketika Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan PAN untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Md. Raus.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan memberitahu pemberita, Hakim Azizah selain itu berpendapat, PAN juga tidak melepasi aras jangkaan (threshold) dan tiada hak (locus standi) yang mencukupi di sisi undang-undang untuk mengemukakan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu.

Permohonan PAN yang diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin ditolak dengan kos RM5,000.

PAN melalui Timbalan Setiausaha Agung, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus sebagai pegawai awam parti tersebut selaku pihak pemohon memfailkan permohonan kebenaran itu pada 1 November lalu dengan menamakan Md. Raus sebagai pihak responden.

Pihak pemohon memohon kebenaran untuk mendapatkan perintah perisytiharan bahawa pelantikan pihak responden sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan pada 4 Ogos lalu dan sebagai Ketua Hakim Negara di bawah Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan, tidak sah, tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak mempunyai sebarang kesan.

Pemohon juga memohon mendapatkan perintah writ quo warranto untuk meminta pihak responden menunjukkan sebab dan memberi pengesahan bagaimana dan atas asas apa responden masih menjawat kedua-dua jawatan tersebut.

Di samping itu, pihak pemohon memohon diberi kebenaran bagi mendapatkan perintah certio­rari untuk mahkamah membatalkan pelantikan responden untuk kedua-dua jawatan tersebut.

Pemohon juga memohon injunksi mandatori bagi menghalang pihak responden melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas beliau bagi ke­dua-dua jawatan itu.

Pihak pemohon menyatakan, antara alasan pihaknya mengemukakan permohonan tersebut adalah responden hanya boleh memegang jawatan Ketua Hakim Negara jika beliau, seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang sah.

Sedangkan pada 4 Ogos lalu menurut pemohon, pihak responden telah bersara wajib kerana lanjutan umur persaraannya selama enam bulan telah tamat.