Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (gambar) berkata, semua pihak tidak perlu berasa bimbang terutama orang Islam selepas timbul dakwaan pelantikan tersebut bakal menggugat kedudukan Islam di negara ini.

Beliau juga menasihatkan rakyat untuk tidak menimbulkan sentimen negatif, sebalik­nya menilai berdasarkan kepada kepakaran dan kemahiran beliau dalam bidang berkenaan.

“Jangan menilai pelantikan ini dari segi bangsa dan aga­manya. Apa yang lebih pen­ting adalah prestasinya dalam bidang kehakiman. Bagi saya, pelantikan ini berdasarkan me­rit, kepakaran dan kemahiran kerana sudah lama berada dalam bidang ini.

“Saya yakin seseorang itu mampu memberi sumbangan kepada negara bukan kerana bangsa dan agamanya, bahkan kecintaan dia kepada negara, itu yang lebih mustahak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie me­nyambut baik pelantikan Richard sebagai tonggak utama badan kehakiman terbaharu di negara ini.

Katanya, beliau amat menghargai ketetapan yang dibuat kerajaan Persekutuan dalam menghargai individu yang berpengalaman luas dari negeri ini.

“Semua sudah maklum dan tahu bahawa beliau (Ric­hard) merupakan seorang yang berde­dikasi dalam bidangnya. Saya yakin rakyat Malaysia yang berada bukan hanya di Sabah, malah di Sarawak amat menghargai ketetapan dan juga keputusan yang telah dibuat” ujarnya.