Tertuduh Li Jin Ming, 41, dari Yunnan China membuat pengakuan itu selepas memahami pertuduhan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus.

Mahkamah turut menetapkan supaya tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal bayar denda dan perlu merujuk kepada Jabatan Imgresen.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didapati merokok di dalam tandas D, pesawat AirAsia AK5746 yang dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) ke Lapangan Terbang Tawau pada 1.01 petang, 16 Jan lepas.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 100 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 206 (2)(a) peraturan yang sama denda denda tidak melebihi RM25,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa ASP Dayang Nur Azarinahwaty Ag Kachee  memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh atas alasan tindakannya boleh membahayakan keselamatan penumpang lain di dalam pesawat serta demi kepentingan awam dan sebagai pengajaran.

Tertuduh yang diwakili peguam Liew Hon Min bagaimana pun memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan kerana ia adalah kali pertama bagi tertuduh menaiki penerbangan ke luar negara.

"Sewaktu dalam penerbangan ke Tawau itu, tertuduh tidak mengetahui mengenai larangan merokok dan tiada pengumuman mengenai larangan tersebut dalam bahasa China," katanya.

Beliau berkata kes itu turut mendapat liputan meluas sehingga ke China dan difahamkan, pihak berkuasa menerusi China Tourism Board akan mengenakan tindakan terhadap anak guamnya sekembalinya ke China.-BERNAMA