Hakim Syarie, Salehan Yatim dalam keputusannya berkata, Ezany, 44, mendapat hak penjagaan kekal ke atas Hayden Harraz Nizarif sementara isterinya, Lidza Nuryanti Abidin diberikan hak lawatan, dua kali sebulan iaitu pada minggu kedua dan minggu keempat.

“Pihak polis adalah diperintahkan untuk memberikan bantuan bagi melaksanakan perintah ini,” ujar Hakim Salehan. Ezany diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Ezany atau nama sebenarnya Mohd. Zani @ Mohd. Zohri Mohd. Nizariff berkahwin dengan Lizda Nuryanti, 35, pada 1 Julai 2007.

Pada 17 Julai 2014, Ezany telah membuat laporan di Balai Polis Kinrara, Serdang setelah mendakwa Lizda Nuryanti dilarikan seorang lelaki.

Menurut Ezany, dia menyedari kehilangan Lizda Nuryanti setelah bangun daripada tidur kira-kira pukul 4.30 pagi untuk bersahur dan mendapati pintu utama rumahnya di Seri Kembangan, Selangor tidak berkunci.

Pada 11 April 2016, Mahkamah Rendah Syariah Petaling mensabitkan Lizda Nuryanti atas tuduhan nusyuz (ingkar kepada suami) selepas membenarkan permohonan pelakon itu di bawah Seksyen 61 (3)(b)(1)(i) Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Ezany sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan janda bergelar Datin Paduka K. - UTUSAN ONLINE