C. Shatiswaran, 22, didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dengan menumbuk Mohd. Aidil Mohd. Ali, 25, dan Daryl John Sta Maria, 20, di asrama lelaki sebuah universiti, Jalan SS7/26, Kelana Jaya di sini kira-kira pukul 11.30 malam, 28 Februari lalu.


Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.


Sementara itu, Shatiswaran turut didakwa atas pertuduhan bergaduh di dalam bilik bangunan tersebut dengan tujuan mengganggu ketenteraman awam di tempat, masa dan tarikh sama.


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.


Shatiswaran juga menghadapi pertuduhan keempat iaitu didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan asrama tersebut di tempat, masa dan tarikh sama.


Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000.


Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan sementara tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia masih belajar dan tiada sebarang pendapatan.


Majistret Nurshahira Abdul Salim bagaimana membenarkan Shatiswaran diikat jamin RM4,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 April ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.