Tertuduh yang berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukannya terhadap Mohamad Nur Akram Zime, 16, di Dorm HB 205, Kolej Vokasional Tangok, Bachok pada pukul 12.27 tengah malam, 12 Mei lalu.

Remaja terbabit didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Prosiding kes juvenil itu dibuat secara tertutup di hadapan Hakim Mohd. Yusoff Yunus dengan hanya bapa tertuduh; peguam bela, Muhammad Hasif Hasan; Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias dan petugas mahkamah yang dibenarkan mengikuti prosiding.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna jingga kelihatan tenang semasa dibawa ke mahkamah.

Sementara itu, Muhammad Ha­sif yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, dalam prosi­ding tersebut Siti Hajar yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya pelajar tahun satu itu dikenakan jaminan sebanyak RM15,000.

“Bagaimanapun, saya memohon jaminan ini dikurangkan kerana bapa tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu am manakala ibunya tidak bekerja selain ini adalah kes pertama tertuduh,” katanya.

Beliau berkata, mah­kamah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin.

“Mahkamah menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes,” katanya.

Difahamkan, wang jaminan ter­sebut dibayar oleh bapa tertuduh.

Memetik laporan akhbar, mangsa dikatakan sedang tidur sebelum dikejutkan suspek berusia 17 tahun yang bertindak menendang mangsa sebanyak dua kali di leher kanan selepas dikatakan tidak menghormati pelajar senior.

Kejadian itu menyebabkan mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1.30 pagi di sebuah klinik kesihatan di Bachok selepas saluran darah ke bahagian otak putus.