Kenyataan selamba dan jeli­ngan tajam daripada seorang tertuduh kepada seorang penuntut perubatan dari universiti di Mesir dan pekerja hotel yang didakwa atas 23 pertuduhan membabitkan aktiviti pelacuran di Mahkamah Sesyen di sini hari ini menarik perhatian semua termasuk Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Reaksi itu diberikan sejurus selepas jurubahasa selesai membacakan pertuduhan ke-12 terhadap Khairul Azzuar Yusuff, 29. Berkemungkinan berasa bosan, tertuduh bagi satu kes lain mula menghentakkan gari yang dipakainya ke kerusi kandang tertu­duh berulang kali sehingga dia dibawa keluar dari mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Khairul Azzuar yang sedang menunggu panggilan untuk latihan siswazah (housemanship) dan Mohyuddin Ahmad Fajarudin, 23, masing-masing didakwa atas empat dan lima pertuduhan hidup atas hasil melacurkan lima wanita yang berusia antara 19 dan 22 tahun termasuk seorang warga Indonesia.

Khairul Azzuar juga menghadapi tujuh pertuduhan menjadi orang tengah bagi aktiviti persundalan tersebut manakala Moh­yuddin didakwa atas dua pertu­duhan serupa.

Selain itu, kedua-duanya meng­hadapi lima pertuduhan bersama-sama menjadi orang tengah untuk melacurkan kese­mua mangsa.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Mei 2016 hingga Januari lalu di Hotel Grand Dorsett Subang, Hotel Sunway Pyramid dan Hotel Summit Clio dekat sini.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372A(1), 372(1)(f) dan Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan sebatan serta hendaklah dikenakan denda.

Pada 8 Mac lalu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam telah didakwa atas 54 pertuduhan sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas yang memohon agar tiada jaminan dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh sebagaimana yang ditetapkan oleh Mahkamah Se­syen Kuala Lumpur.

Beliau turut menyatakan akan membuat permohonan agar ke­dua-dua kes itu dipindahkan ke mahkamah Kuala Lumpur untuk di bicarakan bersama.

Difahamkan, kedua-dua tertuduh menggunakan nama samaran Encik Nakal dan Santiago dan sindiket pelacuran itu bergiat aktif sejak tahun lalu melalui medium aplikasi WeChat membabitkan mangsa-mangsa dalam kalangan pelajar, golongan profesional dan mereka yang di bawah umur.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 April ini.