Hakim Datin M. Kunasundary turut menjatuhkan hukuman sebatan dua kali terhadap Khairul Azzuar Yussof, 30, dan empat sebatan ke atas Mohyuddin Ahmad Fajarudin, 24, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Khairul Azzuar didakwa atas satu pertuduhan dan Mohyuddin menghadapi dua pertuduhan masing-masing bagi kesalahan bertindak sebagai orang tengah bagi aktiviti persundalan ke atas dua wanita warga Indonesia.

Mereka juga masing-masing didakwa dengan satu dan dua pertuduhan hidup hasil daripada persundalan mangsa yang sama.

Kesemua pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 372A(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di dua hotel di Jalan Changkat Thambi Dollah dan di Jalan Imbi di sini, masing-masing antara Oktober 2016 dan Januari 2017.

Terdahulu, peguam Suzanawaty Ismail yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan kedua-dua anak guamnya sudah insaf dan masa depan mereka sudah hancur ekoran daripada kes ini.

“Akibat kes ini, Khairul Azzuar telah dibuang keluarga dan masa depannya untuk menjadi seorang doktor telah hancur manakala Mohyuddin pula seorang lepasan politeknik dalam bidang kejuruteraan dan mereka masing-masing memohon untuk diberikan peluang kedua,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Rozaliana Zakaria bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah bertentangan dengan moral, adab dan agama.

Bagi kes pertama terhadap Mohyuddin Ahmad yang mengandungi pertuduhan menjadi orang tengah dan hidup hasil persundalan, mahkamah menjatuhkan hukuman masing-masing penjara tujuh tahun dan sebatan sekali serta berkuat kuasa secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 7 Februari 2017.

Bagi kes kedua terhadap lelaki itu yang mengandungi pertuduhan serupa, mahkamah menjatuhkan hukuman sama namun berkuat kuasa serentak dengan hukuman kes pertama.

Sementara itu bagi Khairul Azzuar, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan sebatan sekali bagi setiap pertuduhan.

Sepanjang perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi manakala pembelaan memanggil empat saksi termasuk kedua-dua tertuduh untuk memberi keterangan. - UTUSAN ONLINE