Tertuduh, Shahrul Pitri Jusoh, 35, yang memakai baju lokap jingga dilihat bersahaja ketika prosiding kesemua kes berlangsung bermula kira-kira pukul 10 pagi di hadapan Majistret Syahdatul Kamila Zakaria dan Majistret Norita Mohd. Ardani

Bagi tiga pertuduhan bunuh itu, Shahrul Pitri yang tidak diwakili peguam didakwa membunuh tiga beradik iaitu Mohammad Faqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, dan dua adiknya, Nur Zia Fasihah, 2, dan Muhammad Firash Zafrill, 3. 

Shahrul Pitri didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut pada kira-kira pukul 2.30 petang sehingga 2.40 petang 17 Mei lalu di rumah beralamat Rumah Projek Bantuan Bina Rumah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kampung Sungai Haji Mohammad, di Selekoh Bagan Datuk.

Tiada pengakuan direkodkan oleh Syahdatul Kamila daripada tertuduh dalam ketiga-tiga kes bunuh tersebut memandangkan pertuduhan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Sementara itu, di mahkamah majistret berasingan, Shahrul Pitri didakwa cuba melakukan bunuh dengan menggunakan parang yang boleh menyebabkan kematian kepada tiga mangsa iaitu ibu tiga beradik tersebut, Zuraidah Mat Ali, 35; seorang ustaz, Redhuan Embi, 32, dan murid tahun empat, Nur Aina Umaira Subri, 10.

Shahrul Pitri juga turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas kakak sulung mangsa bunuh, Nur Zuryn Fazira, 9, dengan menggunakan parang.

Tertuduh didakwa melakukan keempat-empat kesalahan itu pada kira-kira pukul 2.15 petang hingga 2.45 petang di dalam rumah mangsa serta titi pondok dan di jalan hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad, Selekoh di Bagan Datuk.-UTUSAN ONLINE