Kamarul Ariffin Suboh, 44, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang mempunyai lima orang anak didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Muhammad Fakharuddin Azahar, 27, iaitu guru Pendidikan Jasmani kira-kira pukul 3 petang di tepi Padang 10 di Krubong pada 26 April tahun lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 


Difahamkan, guru berkenaan sebelum itu memarahi seorang pelajar yang merupakan anak ketiga tertuduh berusia 15 tahun kerana membeli makanan tidak berkhasiat iaitu ayam gunting pada hari perlawanan bola sepak dan menyuruh remaja itu pulang. 


Marah dengan tindakan guru tersebut, tertuduh datang dan bertindak menampar pipi kiri lelaki berkenaan sebanyak dua kali, namun mangsa tidak membalas tindakan lelaki berkenaan. 



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan mempunyai banyak tanggungan. 


Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 6 Mac depan sebagai sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE