Jamal Md. Yunos
Jamal Md. Yunos

Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memaklumkan keputusan jabatan itu ketika kes disebut di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini.

“Sekiranya kesemua tertuduh masih mengaku tidak bersalah, saya memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes. Pertuduhan asal dan pertuduhan pilihan masih dikekalkan,” kata Norhashimah.

Peguam, Datuk Mohd. Imran Tamrin yang mewakili Jamal dan sembilan pengikutnya tiada bantahan mengenai permohonan pihak pendakwaan dan memaklumkan kesemua anak guamnya akan meneruskan kes itu ke peringkat perbicaraan.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 4 September ini untuk pengurusan kes.

Jamal dan pengikut-pengikutnya sebelum ini mengemukakan re­presentasi kepada Pejabat Peguam Negara agar pertuduhan terhadap mereka dikaji semula.

Terdahulu, prosiding yang bermula kira-kira pukul 9 pagi itu ditangguhkan sebentar kerana menunggu kehadiran Jamal, namun sebaik sahaja mahkamah kembali bersidang pada pukul 10.24 pagi, peguam memaklumkan Jamal tidak dapat hadir ke­rana tidak sihat.

Mohamad Firdaus kemudian mengarahkan ahli perniagaan itu menyerahkan sijil cuti sakit sebelum pukul 5 petang ini atau mahkamah akan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Pada 13 April lalu, Jamal, 47, bersama Reza Jamin, 37, Ariffin Abu Bakar, 47, Mohd. Shabudin Abu Hassan, 47, Izzrul Idris, 32, Hasannen Zikri Harizan, 24, Mohd. Faiz Amirul Mahsan, 22, Mohd. Yusoff Mohd. Sharif, 26, Abd Razak Hassan, 29, dan R. Balaguru, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Kesemua mereka didakwa sebagai anggota satu kumpulan perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama telah menggunakan kekerasan untuk menentang pelaksanaan undang-undang di dalam bangunan Pusat Beli-belah Ampang Point, Ampang Jaya, dekat sini pada pukul 4 petang, 13 November 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memper­untukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh turut memohon dibicarakan terhadap pertuduhan pilihan iaitu bertindak agresif dengan cara merempuh halangan pihak polis bagi tujuan membangkitkan kemarahan dan mengganggu keamanan pada masa, tarikh dan tempat sama.

Pertuduhan pilihan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.