Perkara tersebut dimaklumkan kepada pihak media dalam satu kenyataan oleh Tetuan Geethan Ram hari ini.

Kenyataan tersebut menyifatkan, saman yang difailkan Global Royalty Trading SAL (Global Royalty) terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menyalahi undang-undang, remeh, menyakitkan hati dan/atau penyalahgunaan proses mahkamah.

Firma guaman itu menyatakan, Global Royalty mahu Rosmah yang dinamakan sebagai pihak defendan tunggal bertanggungjawab untuk menanggung kerugian mereka merupakan salah faham dan dibuat tanpa asas undang-undang.

Sementara itu pihak defendan dalam pernyataan pembelaan yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini mendakwa, tidak pernah membeli apa-apa barang kemas dan perhiasan daripada pihak plaintif.

Sebaliknya barangan kemas dan perhiasan tersebut hanya dihantar kepada pihak defendan untuk dilihat tanpa ada sebarang kewajipan untuk membelinya.

Global Royalty dalam saman yang difailkan pada 26 Jun lalu mendakwa, kebiasaannya pihaknya akan menyerahkan barang kemas kepada pelanggan tetapnya itu untuk dinilai dan akan membeli barangan yang dipilih olehnya.

Pembayaran sama ada dibuat sendiri atau melalui pihak ketiga dan memulangkan baki barang kemas yang tidak dipilih kepada pihak plaintif.

Pihak plaintif mendakwa, Rosmah dalam surat bertarikh 22 Mei lalu mengesahkan, menerima 44 barang kemas itu namun kini tidak lagi berada dalam miliknya kerana telah disita oleh polis.

Sebagai pengirim, pihak plaintif mendakwa mengekalkan hak miliknya ke atas barang kemas yang telah disita akan dilucut hak oleh pihak ketiga yang tidak berkaitan dengan perjanjian antara plaintif dan defendan.

Sehubungan itu, pihak plaintif menuntut enam perintah perisytiharan antaranya, sebagai pemilik sah ke atas barang kemas itu dan harta tersebut tidak berpindah kepada defendan dan perintah mandatori supaya barang kemas dipulangkan kepada pihak plaintif.

Secara alternatif, jika barang berkenaan tidak boleh dituntut atau dipulangkan secara penuh atau sebahagian kepada pihak plaintif, maka pihak defendan bertanggungjawab membayar semula kepada pihak plaintif, kos barang-barang kemas RM59,831,317.40 (AS$14,787,770) mengikut kadar Maybank Bhd. pada 13 Jun lalu dan faedah lapan peratus. - UTUSAN ONLINE