Pengetuanya, Mohd. Zahid Mahmood berkata, barisan peguam pemerhati sukarela itu terdiri daripada Bosetamam Ahmad dan Tajudin Razak serta diketuai Abd. Razak Muhidin akan mewakili pihaknya pada sebutan semula kes, 28 November ini.

Sehubungan itu, jelasnya, mana-mana waris yang ingin mendapatkan khidmat peguam-peguam terbabit boleh menghubungi pihaknya untuk diselaraskan.

“Kami telah mengikuti setiap perkembangan siasatan kes berkenaan termasuk proses pendakwaan di Mahkamah Majistret, Jalan Duta di sini pada Jumaat lalu.

“Insya-Allah pada 28 November ini di mana sebutan akan datang di Mahkamah Majistret, peguam-peguam sukarela ini akan hadir dalam prosiding mahkamah sebagai peguam pemerhati bagi pihak madrasah dan setiap waris yang memilih untuk diwakili,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Kejadian kebakaran di pusat tahfiz itu telah meragut nyawa 23 penghuni termasuk dua warden di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat di sini.

Dua minggu selepas kejadian, lima remaja lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki berusia antara 12 dan 18 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh dan memasukkan dadah ke dalam badan.

Mahkamah menetapkan 28 November ini untuk sebutan semula kes dan hanya membenarkan tertuduh yang berusia 12 tahun diikat jamin RM3,000 de­ngan seorang penjamin.

Bagi yang mengaku bersalah, mahkamah be­lum menjatuhkan hukuman ke­rana menunggu laporan akhlak dan laporan kimia siap.