Hakim Zamri Bakar membuat keputusan tersebut terhadap Ab. Gani Che Man, 69, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah mendapati tiada wujud elemen penipuan dalam kes ini dan selepas membuat penilaian, mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri," katanya.

Mengikut pertuduhan, bekas pegawai polis itu didakwa menipu dua individu iaitu Mohamad Ali Abdullah dan Azman Yahya dengan memperdayakan mereka bahawa tertuduh merupakan seorang peguam yang bertauliah dan boleh mengendalikan urusan jual beli harta.

Perbuatan tertuduh itu telah mendorong mangsa-mangsa untuk menjual satu unit kedai dengan harga jualan RM680,000 yang mana mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Ab. Gani yang bersara dengan pangkat Deputi Superintendan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di No. 2-1, tingkat 1, Jalan 1/76C, Desa Pandan, di sini pada 18 Ogos 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, N. Kalyana Sundaram turut didakwa atas pertuduhan alternatif iaitu melakukan pecah amanah terhadap wang tersebut di firma guaman Messrs Ab. Gani Che Man & Co. di alamat sama antara 20 Mac 2017 dan 28 April tahun sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda. - UTUSAN ONLINE.