Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman denda RM650 atau penjara sebulan terhadap G. Alexander, 46, sementara Salinah Ibrahim, 52, didenda RM500 atau penjara 15 hari setelah kedua-dua orang kena saman (OKS) itu mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Alexander dan Salinah membayar denda masing-masing.


Kedua-dua OKS didakwa telah melakukan perbuatan itu di suatu tempat dilarang merokok di bawah Peraturan 11(1)(h) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau di dalam kawasan kafeteria, Kompleks Mahkamah Jalan Tuanku Abdul Halim di sini kira-kira pukul 10.10 pagi, 7 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 11(3) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Alexander yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai tanggungan keluarga dan pendapatan sederhana serta memohon maaf kepada mahkamah manakala Salinah merayu hukuman ringan kerana dia merupakan ibu tunggal yang menyara empat anaknya.


Pegawai Pendakwa, Shumizan Siron daripada Pejabat Kesihatan Titiwangsa pula memohon hukuman berat mengambil kira peningkatan kes kanser akibat daripada perbuatan merokok yang membahayakan kesihatan dan persekitaran.


“Saya juga mohon pihak mahkamah membenarkan kes ini disiarkan di media cetak dan elektronik supaya menjadi pengajaran kepada orang awam untuk tidak melakukan kesalahan sama malah salah seorang OKS yang merupakan pengamal undang-undang tidak sepatutnya melakukan kesalahan itu,” katanya.


Mengikut fakta kes, seorang pegawai kesihatan telah melakukan pemeriksaan dan pemerhatian di kompleks mahkamah berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati puntung rokok yang masih menyala terdapat pada Alexander dan Salinah namun kedua-dua OKS memadamkannya. - UTUSAN ONLINE